Anggota polis yang didakwa menghalang beberapa warga emas yang berseluar pendek dari memasuki sebuah pusat pembuangan undi hari ini hanya bertindak mengikut arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengulas kejadian yang berlaku pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim siang tadi, Ketua Polis Daerah Muallim, Superitendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata tindakan pasukan polis berdasarkan panduan dan nasihat yang diberikan SPR di pusat mengundi yang kuasanya terletak kepada ketua tempat mengundi.
“Saya ingin jelaskan disini sebagaimana saya sebutkan, kita pihak polis membantu mengawal keselamatan di pusat mengundi, termasuk kawalan 50 mter di pagar pintu masuk pusat mengundi.
“Tetapi ingin saya tegaskan di sini peranan polis adalah hanya membantu petugas SPR yang berada di semua pusat mengundi,” katanya pada sidang media hari ini.
Apabila diajukan sama ada halangan itu berpunca dari pihak SPR yang menyebabkan polis meminta pengundi berpakaian berkenaan untuk pulang, Sulizmie bagaimanapun berkata keadaan berlaku akibat dari salah faham.
“Saya tak boleh komen lebih lanjut. Mungkin ada salah faham yang berlaku tapi saya tetap menegaskan kita membantu di pusat mengundi,” tambah beliau.
Terdahulu, pagi tadi berlaku insiden tidak puas hati oleh beberapa pengundi warga emas apabila tidak dibenarkan masuk ke pusat pengundian di Sekolah Kebangsaaan Aminuddin Baki di sini untuk proses pengundian kerana memakai seluar pendek.
Mereka dihalang masuk oleh anggota polis yang berkawal di pintu sekolah itu.
SPR, ketika mengulas kejadian itu juga berkata ia sebagai satu salah faham dan memaklumkan bahawa pemakaian seluar pendek ke tempat mengundi bukanlah satu kesalahan di bawah peraturan ke tempat mengundi.