Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sudah diarahkan untuk menyiasat segera secara menyeluruh untuk kenal pasti kumpulan penjenayah yang melakukan serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar di Perlis.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan serius dengan kejadian berbalas tembakan ini kerana ia sudah menyebabkan seorang dari anggota PGA berkenaan terkorban.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Siasatan awal mendapati kejadian ini bermula apabila dua anggota PGA sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian diserang dua kumpulan disyaki terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang sedang menjalankan kegiatan jenayah penyeludupan di sempadan.
“Dukacita dimaklumkan salah seorang anggota PGA, Koperal Baharuddin Ramli terkorban dalam kejadian berbalas tembakan itu, manakala rakan setugas mangsa, Koperal T. Norihan cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau pada masa sama mewakili kementerian mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian serangan tersebut.