MELAKA: Wanita yang mendakwa dirinya isteri kepada salah seorang penjenayah yang ditembak mati polis dalam operasi di Durian Tunggal bulan lalu sebenarnya hanya kekasih kepada si mati dan memiliki 10 rekod jenayah lampau, termasuk kes cubaan bunuh.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan mendapati wanita berusia 31 tahun itu tidak mempunyai sebarang hubungan perkahwinan dengan suspek terbabit, sebaliknya tinggal bersama sebagai pasangan kekasih sejak lebih tiga tahun lalu.
Isteri sebenar suspek, katanya, berada di Johor dan telah lama ditinggalkan.
Menurut beliau, polis kini turut memburu bapa wanita berkenaan yang mempunyai 24 rekod jenayah serius termasuk kes bunuh dan pernah menjalani hukuman.
Pendedahan itu dibuat bagi menjawab kekeliruan serta dakwaan yang tular di media sosial mengenai latar belakang keluarga suspek.
Dzulkhairi berkata, wanita terbabit memiliki rekod jenayah melibatkan curi kenderaan, samun dan cubaan bunuh, selain disyaki terlibat dalam kes samun di Jasin pada Julai lalu.
Bapanya pula dikehendaki polis bagi membantu siasatan beberapa kes termasuk curi kenderaan dan pecah bangunan.
Dalam operasi awal pagi 24 November lalu, tiga suspek aktif jenayah berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas salah seorang daripada mereka menyerang anggota polis dengan parang hingga hampir memutuskan tangan kiri anggota berkenaan.
Kumpulan yang dikenali sebagai Geng Durian Tunggal itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 22 kes jenayah melibatkan kerugian RM1.3 juta di beberapa negeri.










