Polis Cari Dua Wanita Dipercayai Terbabit Kes Mayat Bayi Dijumpai Dalam Tandas

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan dua wanita berikutan penemuan mayat seorang bayi dalam keadaan terlangkup di dalam lubang tandas wanita dekat stesen minyak Petronas Sungai Haji Dorani, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superitendan Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan itu, kira-kira pukul 12 tengah hari.

“Orang awam yang telah menjumpai mayat seorang bayi, jantina dan bangsa tak pasti terlangkup dalam lubang tandas wanita dekat Petronas Sungai Haji Dorani.

“Pihak polis bergegas ke tempat kejadian. Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi tersebut meninggal dunia pada pukul 11.15 pagi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu siasatan awal polis turut mendapati, rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) berjaya merakam dua individu wanita disyaki suspek yang terlibat dalam insiden tersebut.

“Terdapat pergerakan seorang wanita berbangsa Melayu yang sedang hamil ditemani seorang perempuan Melayu masuk ke dalam tandas di Petronas tersebut.

“Kedua-dua wanita tersebut didapati menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza berwarna biru manakala nombor pendaftarannya pula tidak jelas,” katanya.

Berdasarkan maklumat CCTV itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam sedang giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu dan suspek utama kes tersebut.

“Ini kerana suspek telah menyembunyikan kelahiran bayi dengan jalan membuang mayat dengan sulit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya,” katanya.

Sehubungan itu polis meminta kerjasama daripada mana-mana saksi yang terdapat sebarang maklumat berkaitan kejadian ini agar tampil membantu siasatan.

Maklumat tersebut boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452 bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles