Polis Buru Pemandu Perodua Kelisa Disyaki Terlibat Kehilangan Remaja OKU

KUALA LUMPUR: Polis kini giat memburu pemandu sebuah kereta Perodua Kelisa berwarna perak yang dipercayai terlibat dalam kes kehilangan seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai, dua hari lalu.

Mangsa, Nurin Wardina Hairi, 18, yang merupakan OKU pembelajaran, dilaporkan hilang selepas keluar bermain di taman permainan berhampiran kediamannya dan tidak pulang ke rumah.

Kehilangannya disedari ibunya, Hamnahwati Mohamad, 48, kira-kira jam 5.30 petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, mangsa yang hanya mampu bertutur seperti kanak-kanak berusia tiga tahun, lazimnya akan pulang selepas bermain di taman.

“Namun pada hari kejadian, dia tidak kembali ke rumah walaupun waktu telah lewat. Sebelum itu, ibunya ada mengajaknya menemani menghantar adiknya ke tempat kerja di Tanjung Minyak, tetapi mangsa enggan kerana mahu bermain,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, si ibu ada melihat sebuah kereta Perodua Kelisa berwarna perak yang mencurigakan diletakkan berhampiran rumah mereka sebelum keluar.

“Ibu mangsa menyangka kenderaan itu milik pengunjung inap desa berhampiran. Namun sebaik pulang ke rumah, beliau mendapati anaknya tiada dan terus melakukan pencarian di sekitar taman,” katanya.

Siasatan awal mendapati seorang penduduk mendakwa melihat Nurin Wardina masuk ke dalam kereta berkenaan secara sukarela tanpa sebarang unsur paksaan, menyebabkan ada yang menyangka pemandu tersebut adalah saudara mangsa.

Susulan kejadian, laporan polis telah dibuat dan pihak berkuasa telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan pergerakan kenderaan terbabit.

“Setakat ini, usaha mengesan pemilik kenderaan tersebut masih dijalankan dan kes disiasat sebagai kes orang hilang,” jelas Christopher.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis terdekat.

BBerkaitan

Latest articles