Polis Berkas Tiga Pengedar Dadah Di Konsert Pinkfish

KUALA LUMPUR: Polis telah menahan tiga pengedar dadah berhubung kematian empat pengunjung konsert Pinkfish pada malam ambang tahun baharu, 31 Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, memaklumkan bahawa tiga lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar negeri ini antara 8 hingga 12 Januari lalu, termasuk seorang suspek yang hadir di konsert ketika kejadian.

Menurutnya, laporan Jabatan Kimia mengesahkan bahawa darah semua mangsa yang maut serta tiga lagi pengunjung yang cedera mengandungi dadah.

“Tujuh individu, termasuk empat yang meninggal dunia, dikesan mengandungi dadah jenis MDMA atau pil ekstasi dalam darah mereka. Polis percaya pil itu dibeli dari luar dan sebahagiannya juga diperoleh dalam kawasan konsert.

“Siasatan kes hampir selesai. Ketiga-tiga suspek merupakan pengedar dadah skala kecil, yang menjual dadah secara individu termasuk seorang yang hadir semasa konsert berlangsung,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Hussein berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2, Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Beliau turut menjelaskan bahawa polis bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menghalang penganjuran konsert tetapi akan mengetatkan syarat berkaitan jenis muzik, jumlah pengunjung, lokasi, saiz kawasan, dan persediaan pasukan bantuan kecemasan oleh penganjur.

“Penganjur perlu memaklumkan hospital terdekat, dan yang paling penting, polis akan menempatkan pasukan narkotik untuk mencegah serta membanteras penyalahgunaan dadah, termasuk pengedaran, di dalam konsert,” tambahnya.

Sebelum ini, media melaporkan polis sedang menyiasat kematian empat individu selepas menghadiri konsert tersebut di Bandar Sunway.

Hussein juga menyatakan pihaknya menerima empat laporan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkaitan kematian dua lelaki dan dua wanita.

BBerkaitan

Latest articles