KUALA LUMPUR — Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju berjaya menumpaskan rangkaian pengedaran dadah menerusi beberapa siri serbuan melibatkan lokasi di sekitar Kuala Lumpur, termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh, Chan Sow Lin dan Cheras.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, ACP Mohamad Lazim Bin Ismail dalam satu sidang media yang diadakan di Dewan Latihan, Blok D IPD Wangsa Maju hari ini, memaklumkan bahawa operasi bersepadu yang dijalankan pada 10 April lalu berjaya membawa kepada tangkapan enam individu terdiri daripada lima warga tempatan dan seorang wanita warga Thailand.
“Serbuan yang dijalankan dari jam 3:57 petang hingga 7:15 malam itu berjaya menemukan pelbagai jenis dadah dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM354,395,” katanya.
Antara dadah yang dirampas termasuk:
• Methamphetamine (11.14g) – RM1,225
• Ganja (279g) – RM8,370
• Kokain (1,714g) – RM342,800
• Pil Erimin 5 (27.92g) – anggaran ribuan ringgit
Kesemua dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu dibekalkan kepada lebih 5,600 penagih. Ujian air kencing ke atas keenam-enam suspek mendapati mereka positif dadah, dan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik.
ACP Mohamad Lazim turut menjelaskan bahawa dua daripada lokasi serbuan dipercayai digunakan sebagai stor penyimpanan dadah yang disewa dalam bentuk homestay, dan dipercayai berfungsi sebagai pusat edaran.
“Salah seorang suspek adalah warga Thailand yang ditahan di lokasi dipercayai berfungsi sebagai tempat penyimpanan dadah. Penglibatannya dalam sindiket ini masih dalam siasatan,” katanya lagi.
Kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 53 tahun telah direman mengikut peruntukan Seksyen 39A dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bermula 11 April.
Pihak polis menggesa orang awam agar tampil memberikan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dengan menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-9281 0715 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999.