KUALA LUMPUR: Satu kertas siasatan telah dibuka terhadap bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkenaan titah adendum tahanan di rumah Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis akan memanggil bekas Menteri Kesihatan itu bagi merakam keterangan selepas pihaknya menerima dua laporan polis terhadap Khairy.
“Pengadu mendakwa membaca artikel daripada sebuah portal berita yang mengatakan Khairy menuduh Datuk Seri Azalina Othman telah bersubahat dalam menyembunyikan titah adendum
“Menurut pengadu, berita berkenaan tidak benar dan telah merosakkan reputasi Azalina,” katanya seperti yang dilaporkan The Star, hari ini.
Menurut Razarudin, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman akan merakam keterangan Khairy di pejabatnya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara, pada Isnin.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jumaat lalu, Setiausaha Politik Azalina, Datuk Suraya Yaacob membuat satu laporan polis terhadap Khairy di Balai Polis Sentul.
Terdahulu, Khairy menerusi podcast Keluar Sekejap, mendakwa terdapat krisis keyakinan terhadap bekas partinya iaitu UMNO susulan titah adendum berhubung Najib.
Beliau turut mendakwa Azalina bersubahat dalam menyembunyikan dokumen tambahan yang membolehkan Najib menjalani hukuman tahanan di rumah.