Polis Akan Panggil Hadi Berhubung Dakwaan AS Tawar Kerjasama Guling Kerajaan BN

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan dipanggil polis dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan kerjasama kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, keterangan Hadi diperlukan bagi melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan.

Menurutnya, polis setakat ini menerima 12 laporan berhubung dakwaan tersebut, selain sudah merakam keterangan daripada 12 saksi.

“Siasatan masih dijalankan dan kita akan memanggil beliau dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, berkaitan kenyataan yang boleh menyebabkan kegusaran awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sehubungan itu, Kumar turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan atau mengganggu proses siasatan.

Isu berkenaan tercetus susulan kenyataan Hadi ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Kota Bharu, Sabtu lalu.

Dalam ucapannya, Hadi mendakwa AS pernah menawarkan bantuan kepada PAS untuk menjatuhkan kerajaan BN ketika lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama, ke Malaysia pada 2014.

Beliau turut mendakwa beberapa pemimpin PAS, termasuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pernah hadir ke Kedutaan AS bagi menghadiri satu pertemuan berkaitan perkara berkenaan.

Menurut Hadi, tawaran tersebut bagaimanapun tidak diterima dan kedua-dua pemimpin terbabit tidak terpengaruh dengan apa yang didakwa ditawarkan oleh pihak AS.

Dakwaan itu kemudiannya dinafikan oleh Kedutaan AS di Kuala Lumpur yang menegaskan bahawa Washington tidak pernah cuba menentukan siapa yang memimpin Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles