Polis Akan Panggil Beberapa Individu Bantu Siasatan Gangguan Seksual Abdul Wahab

KUALA LUMPUR: Susulan aduan yang dibuat Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Abdul Wahab Abdul Kadir berhubung gangguan seksual, polis memaklumkan pihaknya akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain selepas Abdul Wahab mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seksual bekas Ketua Pengarah J-Kom, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.

Terdahulu, pada Khamis, Abdul Wahab membuat aduan berhubung kes yang menimpanya di sebuah hotel do Sarawak dalam satu kejadian pada Oktober lalu.

“Kita (polis) telah selesai ambil keterangan Abdul Wahab kelmarin (30 November).

“Namun, dalam kes ini beberapa lagi saksi lain akan dipanggil polis bagi membantu siasatan lanjut,” katanya hari ini.

Tambah Razarudin lagi, ia merupakan siasatan baharu yang dikendalikan oleh polis ketika ini.

“Ini merupakan siasatan baharu. Manakala, kertas siasatan berkaitan kes dakwaan video fitnah perbualan lucah mengaitkan Mohammad Agus pula telah dirujuk kepada pejabat Peguam Negara semalam (Jumaat),” ujarnya.

Semalam, Pegawai tertinggi PDRM itu mengesahkan bahawa pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan laporan polis Abdul Wahab yang mendakwa dirinya telah diganggu secara seksual oleh Mohammad Agus di Bintulu, Sarawak.

Katanya, siasatan itu dijalankan selepas Abdul Wahab ditemani peguamnya, Faizal Abdul Rahman membuat laporan polis di Balai Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 30 November lalu.

Razarudin berkata, Wahab mendakwa menerima gangguan secara seksual itu daripada Agus di sebuah hotel di Bintulu dipercayai berlaku pada 21 Oktober lalu.

Jelasnya, polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan.

BBerkaitan

Latest articles