Pocket Rocketman Terus Kayuh Secara Profesional, Tinggalkan Pasukan Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengumumkan bahawa beliau akan meneruskan kerjayanya secara profesional dan tidak lagi bersama pasukan kebangsaan.

Azizulhasni, yang terkenal dengan julukan ‘Pocket Rocketman’, berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Saya ambil keputusan untuk kembali aktif dalam arena berbasikal secara kompetitif, namun perjalanan kali ini sedikit berbeza kerana saya tidak lagi bersama dengan pasukan kebangsaan,” katanya dalam sidang media di MSN, Kuala Lumpur hari ini.

Bergerak Sendiri Secara Profesional

Menurut atlet berusia 37 tahun itu, beliau memilih untuk bergerak secara individu dan profesional bagi memberi ruang kepada atlet muda lain mendapat tumpuan dan sokongan penuh daripada pihak berkuasa sukan.

“Ketika saya duduk berbincang dengan MSN dan ISN (Institut Sukan Negara), saya minta supaya peruntukan dan tumpuan diberi sepenuhnya kepada atlet lain demi kesinambungan sukan kita,” jelasnya.

Sedia Wakili Negara Jika Diperlukan

Bagaimanapun, Azizulhasni menegaskan bahawa beliau tetap bersedia untuk menyarung jersi negara sekiranya khidmatnya masih diperlukan, terutama dalam kejohanan besar seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel yang dijadual berlangsung tahun depan.

Terdahulu, Azizulhasni kembali aktif dalam sukan berbasikal selepas menjalani pembedahan jantung pada 2022 dan terus membuktikan keupayaannya sebagai antara pelumba terbaik negara dalam acara keirin dan pecut.

BBerkaitan

Latest articles