KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengesahkan tidak akan meletakkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat PN yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan bersama itu dibuat selepas perbincangan menyeluruh di peringkat gabungan.
“Saya hadir mesyuarat PN semalam. Kita sepakat tidak bertanding di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag untuk PRK kali ini. Namun, jentera kita tetap akan memantau calon-calon yang bertanding,” katanya dalam sidang media di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Sabah atas sokongan kepada PN yang membawa kepada kemenangan gabungan itu di kerusi DUN Karambunai pada pilihan raya lalu.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas pada Selasa depan bagi menetapkan tarikh penting PRK bagi kedua-dua kerusi tersebut.
PRK itu perlu diadakan dalam tempoh 60 hari sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah, susulan kekosongan luar jangka selepas kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.










