PN Ucap Tahniah Usaha Anwar Dalam Kemelut Thailand-Kemboja

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peranannya membantu meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi PN merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, apa jua bentuk penglibatan Malaysia dalam memperkukuh kestabilan serantau amat dialu-alukan pihaknya.

“Walaupun ada yang menyifatkan Malaysia sekadar bertindak sebagai tuan rumah, peranan dimainkan Yang Berhormat Tambun (Anwar) tetap akan terpahat dalam lipatan sejarah. Saya ucapkan tahniah dan syabas.

“Yang penting, Malaysia terus kekal dihormati sebagai negara berdaulat dan dipandang tinggi sebagai kuasa pengimbang kompetitif di rantau Asia Tenggara,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat berkuat kuasa serta-merta hasil mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan Anwar. Pertemuan itu turut disertai Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.

Dalam masa sama, Hamzah menyeru kerajaan supaya konsisten memperjuangkan keamanan sejagat dan berani menyatakan pendirian tegas terhadap penindasan serta kezaliman di seluruh dunia, memandangkan geopolitik semasa semakin rapuh.

“Krisis kemanusiaan di Gaza, perang di Eropah Timur, sengketa berpanjangan di Asia Barat serta isu sempadan Thailand–Kemboja memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada negara.

“Maka menjadi amanah besar untuk Perdana Menteri, Menteri Luar dan seluruh Jemaah Menteri memastikan setiap kenyataan dan tindakan kekal tersusun dan terukur demi kepentingan strategik negara,” katanya.

Mengulas isu berasingan, Hamzah berkata PN berpendirian Malaysia mesti terus berdagang secara bermaruah sambil mempertahankan kedaulatan negara susulan tindakan Amerika Syarikat mengenakan tarif import 19 peratus terhadap barangan dari Malaysia bermula 1 Ogos, dikurangkan daripada kadar asal 25 peratus.

BBerkaitan

Latest articles