PN Tak Bergolak, Yang Kalut Di Luar

SHAH ALAM: Dakwaan kononnya Perikatan Nasional (PN) sedang berdepan krisis dalaman menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disangkal oleh pimpinan gabungan itu yang menegaskan keadaan sebenar jauh lebih stabil daripada yang digambarkan.

Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, tanggapan bahawa PN berada dalam keadaan tidak teratur lebih berpunca daripada persepsi luar serta usaha pihak tertentu yang cuba mencetuskan polemik politik.

Menurutnya, hakikatnya gabungan pembangkang itu masih berfungsi dengan baik dan tidak menghadapi kekecohan seperti yang digembar-gemburkan.

“Saya rasa yang kalut ini di luar. Ada pihak yang cuba menambah kekalutan itu, tetapi dalam PN sebenarnya tidak ada kekalutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Jentera Badar PRU16 Dewan Pemuda Pas Selangor, malam tadi.

Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat menjelaskan masyarakat perlu membezakan antara pandangan peribadi pemimpin dengan pendirian rasmi parti atau gabungan, kerana kedua-duanya sering disalah tafsir sehingga mencetuskan persepsi kononnya berlaku konflik dalaman.

Menurutnya, dalam dunia politik, kenyataan individu kerap dianggap sebagai pendirian rasmi organisasi walaupun ia sebenarnya hanya pandangan peribadi.

“Kadang-kadang bila seseorang bercakap secara peribadi, orang anggap itu kenyataan parti, sedangkan ada kenyataan peribadi dan ada kenyataan rasmi organisasi,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Annuar mengakui terdapat beberapa perbezaan pandangan yang timbul dalam kalangan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak kebelakangan ini.

Namun, beliau menegaskan situasi berkenaan tidak mencerminkan krisis dalam PN secara keseluruhan.

Katanya, perbezaan pendapat di peringkat individu tidak wajar diperbesar sehingga memberi gambaran seolah-olah gabungan itu sedang berpecah.

Tambah beliau, sejak Pas memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan PN, struktur gabungan tersebut dilihat semakin tersusun dan hala tuju politiknya menjadi lebih jelas.

Sehubungan itu, Annuar memaklumkan beberapa perkara berkaitan strategi serta hala tuju gabungan dijangka diperincikan dalam mesyuarat rasmi PN yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menjelaskan pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN bukan bermaksud beliau telah dipilih sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, isu calon Perdana Menteri tidak pernah dibincangkan secara rasmi, sebaliknya pelantikan Samsuri dibuat selepas Pas mencadangkan namanya.

Muhyiddin berkata Majlis Tertinggi PN menerima cadangan berkenaan dan melihatnya sebagai peluang untuk memberi ruang kepada pemimpin serta tokoh lebih muda dalam gabungan tersebut.

Bagaimanapun, Samsuri kemudian memberi reaksi balas dengan menegaskan fokus utama PN ketika ini adalah memperkukuh kerjasama antara parti komponen serta memantapkan muafakat menjelang PRU akan datang.

Malah beliau turut memberi bayangan bahawa soal calon Perdana Menteri bukan keutamaan buat masa ini.

“Yang pasti Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bukan lagi calon PM,” katanya ringkas menerusi satu hantaran di Facebook.

BBerkaitan

Latest articles