PN Selangor Bincang Pelantikan 18 Penyelaras Parlimen

Perikatan Nasional (PN) Selangor akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan pelantikan penyelaras di 18 Parlimen yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) termasuk satu daripada Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari berkata mesyuarat tersebut yang akan disertai parti kompenan PN iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan bakal menentukan siapa yang akan dilantik untuk menjadi penyelaras sesebuah Parlimen di negeri ini.

“Saya diarahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk berbincang dengan PAS dan Gerakan. Di peringkat Bersatu, saya (akan pengerusikan mesyuarat itu). Tapi tertakluk kepada perubahan. Kalau tidak ada apa-apa perubahan mungkin berlangsunglah,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Komuniti Bersatu Kuala Selangor semalam.

Menjelas lanjut, Abdul Rashid berkata terdapat 22 Parlimen di Selangor dengan empat daripadanya adalah milik PN iaitu Gombak, Ampang, Sungai Besar dan Sabak Bernam.

“Jadi, penyelaras Parlimen yang dilantik di kawasan pembangkang ini untuk mewakili kerajaan Pusat di kawasan kerusi yang dipegang oleh PH khususnya,” katanya.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi di peringat Dewan Undangan Negeri (DUN), Abdul Rashid berkata perbincangan mengenai perkara itu akan dilakukan sekiranya telah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun jelas Abdul Rashid, Bersatu akan kekal bertanding di kawasan yang dimenangi mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Memang persetujuan daripada awal, sekiranya Bersatu pegang kawasan tersebut ia akan diteruskan (untuk calon PRU-15). Ini persetujuan dari asal. Contoh kita menang DUN Jeram, kerusi tetap kerusi Bersatu,” katanya.

Terdahulu, Abdul Rashid menerima 300 borang keahlian baharu Bersatu Kuala Selangor yang diserahkan wakil mereka, Datin Maini Jali.

Abdul Rashid turut mengumumkan dua cawangan baharu Bersatu akan ditubuhkan di Parlimen Kuala Selangor menjadikan jumlah keseluruhan 17 cawangan di kawasan itu.

— BERNAMA

Berita Berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Advertisment

Terkini