PN Sedia Bekerjasama Dengan Pembangkang Untuk Halang Kemenangan BN Pada PRU15

KUALA LUMPUR: Mengambil kira dinamika politik semasa pada hari ini, Perikatan Nasional (PN) sekali lagi menegaskan ia terbuka untuk mengadakan rundingan dengan pembangkang kerana tidak mahu Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dinyatakan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dengan merujuk gesaan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada parti pembangkang semalam.

“Mesej Muhyiddin semalam jelas bahawa politik ini dinamik dan apa juga boleh berlaku dalam politik.

“Itu yang cuba disampaikan dan dalam konteks ini apa yang penting kita mahu lihat BN tidak kembali memerintah selepas PRU15,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sempena Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan di Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin ketika berucap di Konvensyen PN semalam menggesa agar semua kepimpinan pembangkang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan gabungan itu untuk menghalang BN kembali berkuasa.

Radzi kemudianya ditanya kemungkinan gesaan itu tidak disambut oleh pembangkang.

Sebaliknya menurut Radzi, PN sudah bersedia untuk menghadapi pertembungan dua atau tiga penjuru pada PRU15 akan datang.

Kesediaan itu kerana PN yakin dengan sokongan dan dukungan rakyat terhadap pentadbiran PN yang baik sebelum ini.

“Yang penting jika tiga penjuru, PN bersedia bila-bila masa, itu mesej yang disampaikan Muhyiddin semalam.

“Bila-bila masa PN bersedia dalam konteks berapa penjuru sekalipun, apa yang ditekankan jika kita lihat perbezaan Konvensyen PN semalam dengan apa yang berlaku di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“Jauh beza sebab di konvensyen kami bercakap tentang integriti dan kesejahteraan rakyat tapi di WTCKL mengapa PM tak tukar Peguam Negara,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles