KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumumkan nama Ketua Pembangkang baharu daripada PAS sebelum penghujung bulan ini bagi menggantikan penyandang ketika ini, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengumuman rasmi hanya akan dibuat selepas beberapa proses dalaman parti diselesaikan terlebih dahulu.
Menurut beliau, sehingga keputusan muktamad dicapai, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut masih kekal memegang jawatan Ketua Pembangkang.
“Ada satu dua proses lagi yang perlu diselesaikan. Selepas keputusan dibuat, nama pengganti itu akan dimaklumkan kepada Speaker Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, hari ini.
Sebelum ini, jawatan Ketua Pembangkang disandang Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu, namun PN telah memutuskan bahawa penggantinya akan datang daripada PAS sebagai sebahagian daripada penyusunan semula kepimpinan blok pembangkang di Parlimen.










