PN Reka Isu Berkaitan Kaum, Agama Kerana Muhyiddin Gila Kuasa

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) hairan mengapa Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan bersama Barisan Nasional (BN) diserang dengan dakwaan kononnya mereka kini tidak lagi mementingkan isu kaum Melayu dan agama Islam.

Menjawab tohmahan itu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata dakwaan itu sengaja direka Perikatan Nasional (PN) semata-mata hendak mengaburi tindakan pemimpin mereka yang sebenarnya tamakkan kuasa.

“Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, menitahkan supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, membabitkan semua parti dengan idea itu dibantah Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Ia bukannya ditolak oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Pengerusi PH. Masalahnya mereka (PN) Muhyiddin dan Hadi Awang menolak (cadangan Tuanku) dengan yakin memaklumkannya kepada umum kerana ketika itu dia (Muhyiddin) yakin boleh memecahbelahkan UMNO dengan ‘mencuri’ 10 Ahli Parlimen UMNO.

“Namun, tiba-tiba cerita sekarang bertukar terus kepada (kedudukan) Melayu diancam pula. Ia bukan soal ini, sebaliknya dia (Muhyiddin) gila kuasa dan tidak mahu merendahkan diri serta mengetepikan perbezaan demi menumpukan perhatian kepada rakyat.

“Bila sudah terlajak dan tidak boleh jadi PM, sekarang dia bakar kata Melayu terancam sebab kononnya mahu beritahu UMNO sekarang bukan seperti UMNO dulu,” katanya ketika ditemui pemberita di Ceramah Mega Malaysia Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Ayer Tawar di Padang Taman Telok Ayer Tawar Indah, hari ini.

Malah dakwaan gabungan pembangkang bahawa ‘Gelombang Hijau’ bakal memberi laluan selesa untuk mereka menang dan menawan enam negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, turut ditepis Rafizi.

Hakikatnya, Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan sokongan yang diterima PH-BN kini semakin bertambah.

Menerusi satu kajian, Rafizi mendedahkan sokongan Gabungan Kerajaan Perpaduan meningkat daripada 41 peratus kepada 45 peratus, sekaligus memberi gambaran cerah kemenangan selesa di tiga negeri yang ditadbir selama ini Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Ketika ini, kita mendapati terdapat peningkatan ketara dalam sokongan pengundi Melayu untuk PH-BN di negeri Kedah dan Kelantan.

“Cuma asas kekuatan undi Melayu PN di Kedah dan Kelantan memang sudah tinggi dan kekal pada kadar sama satu sejak dua minggu lalu.

“Namun, di negeri Terengganu sahaja pada pandangan saya PN masih kekal mendahului kita dan ini saya akui secara terbuka,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles