KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menggesa agar Perikatan Nasional (PN) dibubarkan dan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula, susulan kemelut politik yang sedang melanda Perlis sehingga menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.
Menurut beliau, cadangan untuk memperkukuh kerjasama MN antara UMNO dan PAS sebenarnya telah lama dibangkitkan, termasuk sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun tidak diberi perhatian sewajarnya.
Akmal mendakwa situasi yang berlaku ketika ini membuktikan wujud masalah kepercayaan dalam gabungan PN.
“Hari ini baru nampak belang masing-masing, kena tikam belakang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Krisis politik Perlis tercetus apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), terdiri daripada tiga wakil PAS dan lima daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Susulan perkembangan itu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan di Pejabat Presiden PAS di Rusila, Marang, Terengganu malam tadi memutuskan keahlian tiga ADUN PAS Perlis terlibat ditamatkan serta-merta.
Mereka ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Ekoran pemecatan tersebut, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’ele Eizan, memaklumkan hari ini bahawa terdapat keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan terlibat bagi memastikan kelangsungan dan kestabilan kerajaan negeri.
Untuk rekod, Muafakat Nasional yang dimeterai melalui piagam kerjasama antara UMNO dan PAS pada 14 September 2019 dilihat semakin berakhir apabila PAS memilih untuk bersama Bersatu membentuk PN bagi menghadapi PRU-15.
Keputusan itu turut dianggap melanggar pendirian UMNO yang menetapkan PAS perlu meninggalkan Bersatu sekiranya mahu meneruskan kerjasama dalam MN.










