PN Nafi Sokong Anwar Sebagai Calon PM Untuk PRU15

JOHOR BAHRU: Sejak semalam tersebar satu surat yang tular di media sosial, mendakwa Perikatan Nasional (PN) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Bagaimanapun PN dalam satu kenyataan hari ini menafikan pihaknya bersetuju dengan pencalonan berkenaan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut menepis dakwaan kononnya Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bersetuju mencalonkan Anwar.

Tegas Hamzah, surat bertajuk ‘ Persetujuan Mencalonkan Datuk Seri Anwar Sebagai PM Ke-10’ yang menggunakan kepala surat PN itu adalah palsu, selain menyifatkan penularannya berniat jahat dan sengaja disebarkan bagi mengelirukan rakyat Johor yang akan mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) esok.

“Perikatan Nasional percaya bahawa rakyat Johor tidak akan terpedaya dengan amalan kempen kotor sesetengah parti politik yang terdesak dan tidak dapat menerima gelombang sokongan rakyat terhadap calon dan ikrar Perikatan Nasional.

“Seluruh jentera parti diseru untuk kekal fokus mendekati rakyat dan membawa aspirasi serta keprihatinan Perikatan Nasional demi bangsa Johor dalam tempoh-tempoh akhir berkempen PRN Johor 2022,” kata Hamzah.

Memetik kandungan surat itu, PN didakwa kononnya sanggup memberi kepercayaan dan sokongan penuh terhadap Anwar bagi merealisasikan kerjasama politik kedua-dua parti.

Tambahnya, kerjasama baharu itu akan dikenali sebagai Perikatan Harapan.

Surat terbabit turut mencadangkan satu mesyuarat pembahagian kerusi selepas PRN Johor berakhir bagi memperkukuhkan hubungan politik antara PN dan PKR.

BBerkaitan

Latest articles