KUALA LUMPUR: Kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu terbatal selaras dengan keputusan Mahkamah Pilihan Raya hari ini.
Terdahulu kerusi Parlimen itu dimenangi calon PAS, Che Alias Hamid, dengan majoriti 27,179 undi.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen yang dikemukakan calon Barisan Nasional (BN), Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.
Perkembangan ini juga telah disahkan oleh peguam mewakili Che Alias, Yusfarizal Yussof sebentar tadi.
Pada Mei lalu, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan BN untuk mencabar kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) pada PRU di kerusi Parlimen di Masjid Tanah dan Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).
Tiga panel hakim ketika itu yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan untuk membenarkan perbicaraan penuh bagi kes tersebut selepas mendengar rayuan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid dan pengundi Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.
Wan Mohamad Hisham memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Che Alias mendakwa Ahli Parlimen itu atau ejennya telah melakukan rasuah.
Sebelum ini Mahkamah Pilihan Raya di Melaka dan Terengganu membatalkan petisyen terhadap Mas Ermieyati dan Che Alias selepas membenarkan bantahan awal kedua-duanya atas alasan petisyen itu cacat.
Berikutan itu, Abdul Hakim dan Wan Mohamad Hisham memfailkan rayuan untuk mengembalikan semula petisyen tersebut.