KUALA LUMPUR: Sikap pembangkang yang menimbulkan hingar-bingar di Persidangan Dewan Rakyat menyerlahkan identiti mereka yang sebenar, sekaligus memalukan pengundi mereka sendiri atas ketidakmatangan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengundi dan penyokong setiap gabungan politik pada hari ini mahukan kematangan politik dan bukan masih bermain dengan retorik dan sentimen.
Ahmad Zahid turut mengkritik tindakan pembangkang yang mempersoalkan keperluan untuk mengadakan undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mempersendakannya sebagai gimik politik.
Tindakan Perikatan Nasional (PN) itu ujarnya, jelas bertentangan dengan lunas demokrasi di negara ini serta mencerminkan keangkuhan dan sikap mereka yang tidak konsisten.
“Alangkah sedihnya apabila mereka yang sedang dilanda musibah banjir melihat wakil yang mereka pilih untuk memegang amanah masa depan mereka lebih pedulikan retorik dan sentimen.
“Malah hal gosip liar tak ada kredibiliti dari luar negara diangkat berbanding daripada memastikan terdapat perlindungan terbaik dari segi nyawa, harta dan emosi mereka,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, hakikat yang terpaksa diterima mereka yang terkesan oleh kejadian tanah runtuh di Batang Kali melihat wakil yang mereka pilih lebih mempolitikkan penggunaan istilah Kerajaan Perpaduan atau gabungan daripada memastikan semua mangsa dapat dikenal pasti, diselamatkan dan dibantu sebaik-baiknya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berharap mutu perbahasan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang lebih berwibawa dan berkualiti tinggi daripada kedua-dua belah pihak.
“Saya juga berharap pihak pembangkang selepas ini boleh membentuk Kabinet bayangannya dan benar-benar berfungsi sebagai pembangkang yang berkesan,” jelasnya.
Sehubungan itu Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menegaskan, pembangkang perlu mempunyai kesedaran mengenai isu pemulihan ekonomi dan pembangunan dan bukannya sekadar bernada sarkastik, picisan, retorik dan memainkan sentimen bagi berdepan dengan data dan hujah Kerajaan Perpaduan.
“Kerajaan Perpaduan mempunyai agenda ekonomi yang lebih jelas dan isu rakyat sentiasa mendapat tempat dan kedudukan. Kita tidak boleh terus membiarkan negara kita dilanda ombak ketidakstabilan politik,” katanya.
Menurut beliau, ikhtiar membina semula negara ini dan mencapai potensi ekonominya yang terbaik bermula daripada Parlimen yang lebih bermaruah.