PN Buat Laporan Polis Dakwa Empat MP Sokong Kerajaan Terima Rasuah

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memaklumkan mereka telah membuat satu laporan polis pada jam 12 pagi tadi, bertujuan untuk menyiasat dakwaan empat ahli parlimennya menerima habuan, umpan atau ugutan bagi menyatakan sokongan terhadap kerajaan.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengelirukan Dewan Rakyat apabila memberitahu tiada laporan dibuat sebelum ini.

“Menteri telah mengelirukan dewan kerana mengatakan tiada kes laporan sebab tu saya bangun dan sanggah kerana laporan polis telah dibuat Exco Armada pukul 12 pagi tadi di Balai Polis Dang Wangi.

“Kita minta pihak polis siasat dan ini bukan laporan palsu dan saya kecewalah dengan jawapan menteri tadi kerana dia penuh yakin tidak ada laporan polis. Saya hairan pegawai dia tidak buat kerja ke? Sedangkan dalam sistem sudah masuk dalam sistem pukul 1 pagi tadi,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin di Dewan Rakyat berkata pihaknya belum menerima satu pun aduan polis mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat terhadap dakwaan wujud unsur habuan, umpan atau ugutan susulan tindakan beberapa Ahli Parlimen daripada PN menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Saifuddin turut memberi jaminan polis akan segera membuat siasatan sekiranya terdapat laporan ataupun dakwaan individu, tetapi ia boleh dianggap sebagai fitnah terhadap kerajaan sekiranya tidak wujud elemen habuan dan umpan sebagaimana didakwa.

“Pihak agensi penguat kuasa dalam kerajaan, kita sedia untuk bertindak secara profesional bagi menangani sebarang kemungkinan,” katanya.

Empat Ahli Parlimen dari Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

BBerkaitan

Latest articles