MUAR: Perikatan Nasional (PN) akan meneliti kerjasama dengan parti Pejuang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pihaknya akan berbincang dalam Majlis Tertinggi (MT) PN untuk mendapatkan panduan keputusan akan dibuat berhubung perkara berkenaan.
“Perkara itu perlu diperhalusi dengan terperinci dan mengambil kira suara semua parti komponen.
“Sehingga hari ini PN tidak membuat apa-apa lagi keputusan mengenai perkara berkenaan.
“Ini kerana kita mahu menilai terlebih dulu dan parti dalam PN masing-masing ada pengalaman tersendiri,” katanya pada sidang media selepas Program Solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Masjid Jamek Panchor Muar, hari ini.
Muhyiddin berkata, PN mahu meneliti sama ada kerjasama dengan PEJUANG akan memberi nilai tambah dan menguntungkan kedua-dua pihak atau sebaliknya.
“Jangan menguntungkan satu pihak saja dan pandangan pengundi juga perlu diambil kira.
“Saya tidak tahu orang Panchor sini suka atau tidak. Jika kita buat sesuatu yang tidak disukai, ia mungkin menyebabkan sokongan yang tinggi akan merosot, jadi ia perlu diteliti,” katanya.