KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan menubuhkan sebuah gabungan baharu yang menghimpunkan parti-parti pembangkang utama di luar kerajaan bagi memperkukuh suara blok oposisi.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata meskipun gabungan itu belum mempunyai nama rasmi, mesyuarat awal sudah diadakan melibatkan 12 parti untuk membincangkan isu-isu rakyat merangkumi aspek politik, ekonomi, sosial dan pendidikan.
“Nama baharu akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang. Kita mahu jadikan forum ini sebagai platform bersama untuk membincangkan kepentingan rakyat dan membuat keputusan secara kolektif,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat di The MET Corporate Tower.
Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta beberapa pemimpin lain termasuk Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali; Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz; Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy; Pengerusi Urimai, Datuk Seri Prof Dr Ramasamy Palanisamy; Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim dan Timbalan Presiden Iman, Datuk Mohamed Ismail Ibrahim.
Muhyiddin menjelaskan, keterlibatan parti-parti ini membuktikan wujudnya kesepakatan dalam menolak dasar kerajaan yang didakwa membebankan rakyat.
Beliau menegaskan isu kos sara hidup kekal sebagai kebimbangan paling besar, terutama selepas pelaksanaan dasar kerajaan yang melibatkan penghapusan subsidi, pensasaran semula subsidi minyak serta peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada hampir 6,000 jenis barangan sejak 1 Julai lalu.
“Walaupun kadar inflasi dikatakan rendah, realitinya harga barangan meningkat mendadak, ditambah pula dengan kenaikan kos logistik. Semua ini membebankan rakyat,” katanya.
Dalam mesyuarat itu, gabungan berkenaan juga sebulat suara berpendapat Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) gagal menawarkan penyelesaian kepada masalah utama rakyat.
Muhyiddin berkata, langkah seterusnya ialah mengadakan sesi libat urus dengan persatuan peniaga, pengusaha dan kumpulan masyarakat tertentu bagi mengenal pasti masalah mereka secara lebih dekat, sebelum mencadangkan penyelesaian kepada kerajaan.
“Kami mahu pastikan suara rakyat didengar dan setiap isu dibangkitkan dengan tindakan susulan yang jelas,” tambahnya.