PMKS Terjejas Akibat Banjir Bakal Peroleh Geran Khusus

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) pada hari ini bersetuju untuk mempertimbangkan bantuan berbentuk geran khusus bagi meringankan beban yang ditanggung oleh usahawan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir, Disember lalu.

Ia juga termasuk bantuan kewangan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan.

Bagi memperhalusi cadangn itu, Kementerian Kewangan (MOF) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), kementerian dan agensi berkaitan serta dewan-dewan perniagaan bagi memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan.

Tambah Ismail Sabri, lawatan susulan ke lokasi yang dikenal pasti akan diadakan bagi memastikan program bantuan banjir Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sampai ke kumpulan sasaran.

”Insya-Allah, saya akan mengumumkan inisiatif ini setelah diperhalusi dan dimuktamadkan. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal terjamin,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan EAC hari ini.

Kenyataan yang sama turut menyebut bahawa Jabatan Perangkaan Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia, Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia serta MEDAC telah berkongsi impak akibat banjir dan mencadangkan beberapa tindakan bagi membolehkan PMKS bangkit semula.

Mesyuarat turut mendengar keluhan daripada dua orang usahawan PMKS dari Taman Sri Muda, Shah Alam dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang terjejas teruk bagi mendapatkan gambaran sebenar kerugian, kesan dan masalah yang mereka hadapi.

BBerkaitan

Latest articles