PM Umum Peruntukan Tambahan Dana iTEKAD RM6 Juta

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan tambahan RM6 juta untuk dana program iTEKAD, dalam usaha membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan.

Program yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia sebelum ini telah menerima peruntukan RM4 juta menerusi Belanjawan 2023.

Anwar berkata kos pengurusan iTEKAD lebih rendah berbanding program pembiayaan lain yang dikendalikan oleh kementerian dan program itu juga tidak memberi tekanan kewangan kepada Kerajaan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Kerjasama iTEKAD di Sasana Kijang yang turut dihadiri oleh Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Anwar berharap jumlah penyertaan bank dalam program berkenaan dipertingkatkan daripada 11 ketika ini kepada 20 buah.

“Saya harap dalam beberapa bulan ini jadi 20 kalau tidak nanti saya minta untuk lihat senarai yang belum masuk.

“Kenapa saya tekankan ini, bila bank pusat dan bank lain menguruskan program seperti ini kita lebih yakin dari segi keberkesanan dan impak. Ini satu pujian.

“Saya harap bank lain yang belum lagi menyertai dapat menerima jemputan ini,” kata Anwar.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, program iTEKAD boleh dikembangkan penyertaannya oleh kementerian berkaitan yang sekali gus mampu melonjakkan ekonomi rakyat.

Menurut Anwar, beliau akan meminta Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Kementerian Pembangunan Wilayah dan Desa serta Kementerian Kewangan untuk menyertai program tersebut.

Beliau juga yakin BNM boleh mengajak majlis agama dan pusat zakat menambahkan penyertaan dalam iTEKAD..

BBerkaitan

Latest articles