PM Umum Dividen LTAT 4.1 Peratus

SEGAMAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail hari ini mengumumkan kadar dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera ( LTAT) pada tahun 2021 sebanyak 4.1 peratus

Ujarnya, dividen ini merupakan yang tertinggi sejak tampuk kepimpinan kerajaan bertukar tangan pada tahun 2018.

Berucap di Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) Kem Segamat, Ismail Sabri  berkata dari sudut pendapatan bagi tahun kewangan 2021 pula, beliau memaklumkan bahawa LTAT telah mencatatkan peningkatan pendapatan kasar sebanyak 50.2 peratus kepada RM512.3 juta berbanding RM341.1 juta yang dicatatkan pada tahun 2020.

Perdana Menteri menyerahkan replika kunci rumah RKAT di Kem Segamat petang ini

“Setinggi-tinggi penghargaan khususnya kepada pasukan LTAT di bawah kepimpinan Pengerusinya, Tan Sri Raja Mohammed Affendi Mohd Noor serta Ketua Eksekutifnya, Dato’ Nazim Rahman atas pencapaian ini, terutama dalam memastikan objektif Pelan Transformasi LTAT berada pada landasan yang baik,” katanya.

Turut hadir adalah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudin Hussein; Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Muhamad dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato Seri Zambrose Mohd Zain.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata Kementerian Pertahanan telah meluluskan pembinaan Kem Segamat Fasa 2, dengan dilengkapi lebih banyak fasiliti dan kemudahan.

“Ia juga bakal melengkapkan keseluruhan fungsi Kem Segamat, dan antara fasiliti serta kemudahan yang akan dibina di bawah Fasa 2 termasuk Pembinaan Bangunan Gunasama seperti Wisma Perwira, Wisma Bintara; Pusat Perubatan Angkatan Tentera; Blok Kediaman Pegawai dan Blok Kediaman PTTK; Bateri Markas, Bateri Meriam Pejabat Latih; dan Kompleks Garaj Meriam, Kompleks Logistik dan Kompleks Kenderaan,” karanya.

Tambah Ismail Sabri lagi, beliau mahu MINDEF, ATM, LTAT dan semua pemegang taruh kekal bekerjasama rapat demi matlamat yang sama iaitu kepentingan, kebajikan dan kesejahteraan anggota, veteran ATM dan ahli keluarga mereka.

BBerkaitan

Latest articles