PM: Tiada Pihak Yang Terlibat Dengan Rasuah ‘Terselamat, Dilindungi’

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan tidak akan sesekali melindungi mana-mana individu yang berdepan kes rasuah yang sedang dibicara di mahkamah, apatah lagi membuat pendakwaan terpilih kepada individu tertentu.

Malah kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan sama ada mereka bersalah atau tidak, sementara agensi penguatkuasaan pula bebas menjalankan siasatannya.

“Dalam isu rasuah, pihak kerajaan tidak melindungi sesiapa. Sesiapa saja bertanggungjawab akan dihadapkan ke mahkamah dan mahkamahlah yang akan menentukan sama ada orang itu bersalah atau tidak.

“Jadi, tidak boleh menganggap bahawa kerajaan hari ini melindungi individu-individu tertentu dan melindungi orang tertentu hanya untuk memuaskan hati sesetengah pihak. Kita tidak tahu dulu, dulu ada pendakwaan terpilih atau tidak, tapi hari ini, tidak ada pendakwaan terpilih kepada sesiapa, itu janji kerajaan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata terdapat banyak kes sedang berjalan di mahkamah ketika ini membabitkan sesiapa saja tidak kira mereka dari pihak pembangkang mahupun kerajaan, sekali gus menunjukkan kerajaan serius dari segi mengambil tindakan terhadap sesiapa saja yang mengamalkan rasuah.

Menyentuh isu penurunan kedudukan Malaysia dalam penilaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021, Ismail Sabri berkata, kemerosotan skor itu bukan saja disebabkan kes rasuah, tapi disumbang oleh perkara lain seperti isu hak asasi dan pengenalan akta tertentu.

“Pandangan dari badan antarabangsa mungkin berbeza dengan nilai yang ada di negara kita. Mereka melihat hak asasi berdasarkan nilai mereka. Dari segi keperluan pembaharuan institusi dan akta yang perlu dipinda contohnya Rang Undang Undang (RUU) sumbangan dana politik, ini juga salah satu tuntutan badan antarabangsa supaya kita laksanakan di negara kita.

“Akta Rahsia Rasmi, Akta Kesalahan Pilihanraya dan sebagainya, dari segi keseluruhannya, ada sembilan perkara yang dijadikan alasan untuk mereka berikan ‘rating’ dan skor kepada kita,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, CPI memberi gambaran supaya usaha penambahbaikan tadbir urus, integriti dan antirasuah terus dilaksanakan merentasi pelbagai sektor awam, swasta termasuk politik bagi memberi kesan kepada daya saing serta ekonomi negara.

“CPI Malaysia untuk 2021 dikira berdasarkan sembilan daripada 13 kajian yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi antarabangsa. Laporan itu menunjukkan bahawa Malaysia menduduki tempat ke-2 terbaik selepas Singapura di antara sembilan negara ASEAN lain.

“Antara perkara yang mempengaruhi skor dan kedudukan negara dalam CPI adalah soalan berbeza yang digunakan antara negara, responden atau kumpulan sasar serta jumlah penglibatan negara yang berbeza setiap tahun. Sebagai contoh, kajian CPI tahun 2021 tidak membabitkan Brunei,” katanya.

Dalam usaha memastikan laporan CPI lebih adil dan dapat memberi gambaran yang sebenar, kerajaan melalui Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sudah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan.

“Kesediaan Malaysia untuk dinilai dalam CPI 2021 menunjukkan ketelusan dan komitmen Malaysia dalam penambahbaikan tadbir urus. Kerajaan kekal komited untuk melaksanakan inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

“Bagaimanapun, harus kita ingat, usaha penambahbaikan bersifat jangka panjang dan hasilnya juga akan hanya dapat dilihat dalam jangka masa akan datang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles