KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan penerimaan perletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan beliau, Shamsul Iskandar Mohd Akin, susulan tuduhan yang timbul baru-baru ini.
Dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini, Anwar turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas khidmat yang telah dicurahkan oleh Shamsul sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Berhubung tuduhan yang timbul, saya menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk menjalankan siasatan segera, tanpa sebarang campur tangan luar,” menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri menegaskan bahawa Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dan integriti, serta memberi sepenuh ruang kepada proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang.
Beliau menekankan bahawa prinsip akauntabiliti akan terus dijunjung dalam pentadbiran kerajaan bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara sentiasa terpelihara.










