KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri diingatkan supaya memberi tumpuan serius terhadap aspek penguatkuasaan dan integriti dalam setiap agensi kerajaan bagi mengekang salah laku serta gejala rasuah dalam perkhidmatan awam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu disampaikan secara jelas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan kekal terpelihara dan tidak terhakis akibat tindakan yang mencetuskan persepsi negatif.
Menurut beliau, terdapat beberapa insiden melibatkan badan penguat kuasa sebelum ini yang dilihat menjejaskan tahap kepercayaan awam terhadap institusi kerajaan.
“Perdana Menteri menegaskan bahawa integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan tegas dan konsisten oleh semua pihak,” katanya pada sidang media mingguan kerajaan, hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI menegaskan, Jemaah Menteri tidak akan campur tangan dalam mana-mana kes yang sedang disiasat dan menyerahkan sepenuhnya proses tindakan kepada agensi penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang.
Prinsip sama, katanya, terpakai dalam kes melibatkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar dan timbalannya yang kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan bahawa penegasan Perdana Menteri itu turut disusuli tindakan Ketua Setiausaha Negara yang telah mengeluarkan arahan kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian agar memperketat kawalan dalaman serta memperkukuh amalan tadbir urus masing-masing.
Langkah berkenaan, jelasnya, bertujuan memastikan integriti perkhidmatan awam terus diperkasakan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan tidak terjejas.










