Kerajaan mengambil pendirian tegas terhadap perintah kuarantin yang ditetapkan dan tidak ada sesiapa pun terlepas dengan arahan tersebut, termasuk mereka yang berjawatan tinggi seperti menteri.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan memandang serius kes membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa melanggar perintah kuarantin selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
“Kerajaan mengambil maklum dan memandang serius dakwaan pelanggaran perintah kuarantin itu. Setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang dan tidak ada sesiapa yang terkecuali.
“Sehubungan itu, saya menyerahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.