PM Sempat Islamkan Saudara Baru Di New York

KUALA LUMPUR: Tidak sekadar berkesempatan menyampaikan khutbah Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga turut mengislamkan seorang saudara baharu ketika lawatan kerja di New York, Amerika Syarikat, semalam.

Acara pengislaman itu berlangsung di Islamic Cultural Centre of New York (ICCNY).

“Usai solat Jumaat, saya diminta komuniti Islam di sini untuk menyempurnakan proses lafaz syahadah saudara Andrew Vinals yang berhasrat memeluk agama Islam,” kata Anwar dalam kenyataan.

Terdahulu Anwar diberikan penghormatan oleh komuniti Islam di New York untuk menyampaikan khutbah Jumaat di pusat kebudayaan Islam tersebut.

Dalam khutbahnya, Anwar mengajak umat Islam untuk mengukuhkan perpaduan serta tonjolkan hikmah mengenai Islam, selain mengajak umat Islam sentiasa berlumba-lumba untuk memperoleh maklumat dan pengetahuan.

Anwar turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama yang mebolehkan rakyat pelbagai budaya hidup rukun damai dan harmoni.

“Saya mengambil kesempatan ini juga untuk menjelaskan konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan di Malaysia serta menyentuh ancaman Islamofobia di seluruh dunia yang memerlukan kesepakatan umat untuk menoktahkannya,” katanya.

Anwar turut menyampaikan sumbangan naskah al-Quran kepada pihak ICCNY untuk kegunaan komuniti Islam di sana.

Perdana Menteri berada di New York untuk menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Ia merupakan penampilan sulung Anwar di UNGA sebagai Perdana Menteri ke-10.

Perhimpunan Agung PBB atau United Nations General Assembly (UNGA) adalah mesyuarat tahunan PBB yang dianggotai 193 negara dan dua negara pemerhati.

BBerkaitan

Latest articles