PM: Sempadan Negara Bakal Dibuka, Perantau Boleh Pulang Beraya

JOHOR BAHRU: Berita baik bagi ramai rakyat Malaysia yang berada di luar negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan baharu bahawa sempadan negara akan dibuka tidak lama lagi.

“Ramai yang tunggu ini (sempadan dibuka). Insya-Allah tidak lama lagi,” katanya ringkas ketika berucap di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Plaza Angsana, hari ini.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Sebelum itu, Ismail Sabri berkata, bagi merancakkan semula kegiatan ekonomi dan pelancongan khususnya di Johor, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat dengan Singapura mulai 21 Januari lalu.

Jelas beliau, ia inisiatif bagi memudahkan urusan pertemuan semula keluarga yang terpisah akibat pandemik Covid-19.

“Saya difahamkan seramai 200,000 Keluarga Malaysia berulang alik antara Singapura dan Johor dan mereka tidak perlu lagi menjalani kuarantin wajib di rumah kerana telah melaksanakan ujian saringan kesihatan sebanyak dua kali iaitu semasa bertolak dari negara luar dan semasa ketibaan di Malaysia.

“Selain Singapura dan Indonesia, kerajaan dalam proses melaksanakan VTL darat dengan Brunei dan Thailand dan dengan pembukaan semula sempadan, ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tak bersua muka dapat pulang terutama semasa Hari Raya pada Mei nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia iaitu program kembara ke seluruh negara akan menjadikan Johor sebagai negeri pertama untuk mengadakannya di luar Kuala Lumpur.

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia akan membuka penglibatan kementerian- kementerian melalui agensi masing-masing dalam menyelesaikan isu-isu yang tertangguh di peringkat negeri sebulan sebelum hari jelajah yang dirancang.

Hasil atau pencapaiannya kemudian dinyatakan semasa Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang dijadualkan di negeri berkenaan.

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia juga bertujuan memudahkan rakyat di setiap negeri untuk mendapatkan maklumat terus daripada agensi Kerajaan Persekutuan menerusi perkhidmatan kaunter bergerak yang disediakan.

BBerkaitan

Latest articles