PM Selesai Mengadap Agong

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, sebentar tadi.

BH melaporkan kenderaan Toyota Alphard putih yang membawa Perdana Menteri dilihat keluar dari pintu utama Istana Negara kira-kira jam 4.45 petang tadi, selepas pertemuan hampir sejam dengan Yang di-Pertuan Agong.

Malah Ismail Sabri sempat melambai kepada hampir 100 pengamal media yang berkampung di hadapan pintu utama Istana Negara seawal jam 7.30 pagi tadi.

Sesi Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini mendapat perhatian berikutan spekulasi beliau memohon pembubaran Parlimen daripada baginda bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ismail Sabri dipercayai turut menyentuh mengenai Bajet 2023 dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, sebelum pembentangan di Dewan Rakyat petang esok.

Spekulasi pembubaran Parlimen bertebaran selepas keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Jumaat lalu yang membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan tahun ini.

Dalam pada itu turut kelihatan ke Istana Negara petang tadi adalah Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang menaiki kenderaan Toyota Camry hitam pada jam 2.15 petang.

BBerkaitan

Latest articles