PM Sahkan Rasmi Majlis Pecah Tanah Masjid Di Jalan Masjid India

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan hadir merasmikan majlis pecah tanah sebuah masjid yang bakal dibina di Jalan Masjid India, Khamis ini.

Mengulas mengenai kontroversi pembinaan masjid seperti yang dipertikai badan bukan kerajaan (NGO), Anwar menggesa supaya pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman meneruskan perbincangan dengan pemilik tanah iaitu syarikat swasta serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi urusan pemindahannya ke lokasi lain.

“Saya akan teruskan untuk meletakkan batu asas masjid pada 27 hari bulan (Khamis ini). Saya minta jawatankuasa kuil runding dengan baik. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), syarikat berkenaan, DBKL.. semua itu diminta sederhana, sopan dan bincang dengan baik.

“Jawatankuasa kuil saya sebut begitu juga, bincang dengan baik. Kami ini rakan dan sahabat dan jangan dambakan kami sebagai orang zalim dan jangan dengar penghasut,” katanya berucap sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.

Dalam pada itu Anwar menegaskan bahawa pembinaan masjid baru itu sudah mendapat kebenaran sejak 2019, susulan kepadatan surau dan masjid di kawasan sekitarnya.

“Saya tegaskan, bila kebenaran bina masjid diluluskan? 2019, tahu siapa Perdana Menteri masa itu. Bila diberi kebenaran pembangunan? 2020..Perdana Menteri baru ambil alih,” katanya.

Anwar juga memaklumkan DBKL juga sudah bersetuju secara ehsan untuk menyediakan tapak sesuai bagi menempatkan kuil berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles