PUTRAJAYA: Usaha ke arah perubahan yang baik dalam pentadbiran tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa tunggak dan pimpinan tertinggi perrkhidmatan awam.
Justeru itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru semua penjawat awam untuk bersama-sama dalam kerajaan Perpaduan dibawah pimpinan beliau, membawa perubahan ke arah kebaikan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Beliau berkata, perkhidmatan awam seharusnya bebas, bersikap profesional serta terikat kepada semangat ikrar perkhidmatan untuk menjadi manusia yang berguna kepada keluarga dan masyarakat.
“Saya manfaatkan waktu ini untuk menyeru dan merayu kerana saya tahu kelemahan pimpinan ini kadang-kadang dia terlalu yakin. Dia merasakan hanya berjaya dengan arahan tetapi tidak menjadikan contoh yang baik.
“Jadi kita harus bersama-sama bertekad untuk berbuat sesuatu,” katanya pada perhimpunan bulanan pertamanya dengan penjawat awam sejak menyandang jawatan Perdana Menteri, di Dataran Perdana Putra, di sini, hari ini.
Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.