PM rasmi Jelajah AKM Sabah, esok

Kota Kinabalu: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, esok.

Majlis berkenaan adalah program jelajah pertama anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Sabah tahun ini yang akan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Pelbagai acara menarik disusun buat pengunjung pelbagai peringkat umur sepanjang program berlangsung selama tiga hari hingga 22 Mei ini yang bermula 9 pagi.

Antaranya ialah Jualan Agro Keluarga Malaysia; Jualan Keluarga Malaysia; sukan elektronik; sukan rakyat; gotong-royong; kayuhan Fun Ride; kenduri Keluarga Malaysia; serta pameran kementerian dan agensi kerajaan.

Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena program jelajah itu juga bakal menjadi tumpuan pencari kerja dengan lebih 1,000 peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor membabitkan lebih 30 majikan ternama.

Tidak ketinggalan ialah persembahan kucing mini bagi pencinta haiwan peliharaan itu, karnival permotoran dan demonstrasi masakan, cef cilik, pemprosesan lemang secara mekanikal, gubahan buah-buahan dan simulasi keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Sabah adalah destinasi ketiga siri jelajah AKM yang diilhamkan Perdana Menteri selepas siri pertama diadakan di Johor dan diikuti Perlis, sebagai destinasi kedua.

BBerkaitan

Latest articles