PM: Rakyat Perlu Bersatu Untuk Bebaskan Negara Dari Pandemik

GEORGETOWN: Dalam usaha membangunkan semula ekonomi Malaysia yang terjejas akibat COVID-19, rakyat negara ini diseru untuk sentiasa bersatu-padu untuk mengharungi jalan keluar disebabkan pandemik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata falsafah yang menyokong perniagaan Malaysia dibuktikan dengan komitmen kerajaan terhadap konsep perkongsian awam-swasta.

“Justeru, saya menyeru sektor swasta untuk menjadi pemangkin kepada pembaharuan bagi memacu kemampanan dan seterusnya menyumbang kepada matlamat kolektif kita untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya tahan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian yang dirakam lebih awal pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi China Global (GCET) hari ini.

Tambahnya lagi, Malaysia menawarkan kelebihan yang tiada tandingan kepada pelabur, bukan sahaja sebagai gerbang masuk ke ASEAN, tetapi juga kepada pasaran dunia.

Malah beberapa organisasi antarabangsa dalam laporan terkini mereka membuktikan keberkesanan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Sebagai contoh, Pusat Daya Saing Dunia IMD menempatkan Malaysia sebagai negara ke-25 paling berdaya saing dalam kalangan 64 ekonomi pada 2021 dan Forum Ekonomi Dunia mengenai Indeks Kesediaan Rangkaian 2016 meletakkan Malaysia di tempat keenam kerajaan paling arif digital daripada 139 ekonomi.

Bagaimanapun, dalam mengiktiraf potensi ekonomi China, Malaysia mempelopori jangkauan diplomatik ke negara itu dan menjadi anggota ASEAN pertama yang merasmikan hubungan diplomatik dengan China pada 1974.

Ismail Sabri berkata, Malaysia dan China terus mengukuhkan hubungan ekonomi walaupun semasa krisis semasa, apatah lagi China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, menyumbang 18.6 peratus daripada jumlah perdagangan negara pada 2020.

“Eksport ke China mencatatkan paras tertinggi baharu pada 2020, berkembang sebanyak 11.1 peratus kepada AS$37.77 bilion dan China juga sumber import terbesar Malaysia, menyumbang 21.5 peratus daripada jumlah import,” katanya.

Menyentuh soal pelaburan, China muncul sebagai pelabur asing terbesar dalam sektor pembuatan di Malaysia dari 2016 hingga 2020.

Sepanjang lima tahun ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 243 projek dengan jumlah pelaburan AS$14.91 bilion, menyediakan lebih 50,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

“Syarikat China yang terkenal seperti Huawei, Longi Solar, Jinko Solar, Alliance Steel, Alibaba Group, Geely Auto Group, Xiamen University dan banyak lagi telah menjadikan Malaysia destinasi pelaburan pilihan masing-masing.

“Kehadiran syarikat-syarikat terkenal dunia ini adalah bukti ekosistem mesra perniagaan Malaysia,” katanya.

Sidang kemuncak GCET diadakan untik mempromosi kerjasama dan diplomasi perniagaan, budaya dan ekonomi digital.

BBerkaitan

Latest articles