PM Puas Hati Proses Pengundian PRN Johor Lancar

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan tinjuan perjalanan proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 yang mula dibuka pada 8 pagi tadi.

Beliau tiba di Sekolah Kebangsaan Perumahan Tampoi 2, Kempas iaitu satu daripada 1,021 pusat mengundi dibuka hari ini, pada jam 1.55 petang dan meluangkan masa kira-kira 10 minit melihat dari perkarangan luar sekolah itu.

“Meninjau PDM Taman Siantan, DUN Kempas bersama calon Barisan Nasional, Datuk Ramlee Bohani.

“… Alhamdulillah proses mengundi di sini lancar dan teratur,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.

Ismail Sabri turut mengadakan pertemuan dengan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas Datuk Ramlee Bohani.

Ramlee berdepan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Napsiah Khamis Maharan (PH), Nornekman Osman (Pejuang), Nur Faizal Abdullah (PN) dan tiga calon Bebas iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Mohd Suhimi A Rahman dan Mohd Hambali Munadi.

Turut kelihatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Sebanyak 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Pada PRN Johor kali ini, 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi DUN Johor.

BBerkaitan

Latest articles