PM Nafi Kemelut Politik Di Sabah

KUALA LUMPUR: Khabar angin kononnya berlaku pergolakan politik di Sabah dinafikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, keadaan kerajaan negeri itu stabil seperti yang dimaklumkan kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah menerusi panggilan telefon.

“Saya hubungi semua, Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri Sabah), Datuk Seri Ahmad Zahid (Presiden UMNO), Datuk Seri Shafie Apdal (Presiden Warisan), Datuk Seri Bung Mokhtar (Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah).

“Malah berbincang dengan Ahmad Zahid, Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) dan nampak keadaan tenang sementara ini dan saya tidak fikir ada apa-apa gejolak yang berlaku,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Aman, hari ini.

Anwar diminta mengulas mengenai desas desus percubaan menggulingkan kerajaan negeri Sabah.

Ketika ditanya sama ada Kerajaan Negeri Sabah akan bertukar pemerintahan, Anwar berkata, perkara itu tidak akan berlaku buat masa ini.

“Saya nampak tidak ada apa-apa perkembangan cuma dimaklumkan ada beberapa isu dan saya minta ketua menteri bincang dengan baik dengan rakan-rakan di Sabah,” katanya lagi.

Sejak semalam heboh diperkatakan kononnya ada cubaan menukar Ketua Menteri Sabah gagal.

Gerakan yang dinamakan ‘Langkah Kinabalu’ itu dikatakan ada kaitan dengan gerakan daripada pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

Latest articles

Related articles

spot_img