PM Mahu Wang Ihsan Mangsa Banjir Diberikan Segera

SEGAMAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan pemberian bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir seluruh negara disegerakan.

Ini sekaligus membolehkan mangsa banjir menggunakan wang berkenaan bagi membeli keperluan mereka dengan segera.

Menurut Ismail Sabri, adalah lebih elok bantuan diagih kepada mangsa sebelum mereka pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS).

“Sebelum ini agihan wang ihsan ambil masa antara tiga hingga enam bulan, namun sekarang ia perlu dipercepatkan. Kita tak nak lepas enam bulan baru mangsa banjir dapat wang ihsan.

“Ada seorang makcik memberitahu saya dia sudah tinggalkan rumah tiga empat hari dan tidak tahu apa jadi dengan barangan dalam rumahnya. Kalau terendam lama begitu, sudah tentulah rosak.

“Kita cepatkan pemberian wang ihsan supaya mangsa banjir dapat segera dapat beli barang keperluan terutama pakaian dan makanan sementara dapat bantuan lain,” katanya di sidang media selepas meninjau PPS Balairaya Kampung Tandong, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Terdahulu, Ismail Sabri yang menghabiskan masa lebih sejam di PPS berkenaan, turut diberi taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Segamat.

Beliau turut menyampaikan wang ehsan kepada 26 ketua keluarga di PPS berkenaan, membabitkan RM1,500 yang mana RM1,000 adalah sumbangan kerajaan Persekutuan dan RM500 daripada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan kelulusan peruntukan segera RM5 juta bagi membina ban baharu di Sungai Muar, bagi menyelesaikan isu banjir di daerah itu.

“Saya sudah dengar pembentangan JPS, jika nak elak banjir berterusan di Segamat, ban baharu perlu dibina supaya ketinggian dapat dinaikkan.

“Ban pecah di Segamat berikutan tak dapat menampung jumlah air yang terlalu besar, oleh itu saya luluskan peruntukan RM5 juta supaya ban baharu dapat dibina segera sebagai pelan jangka panjang mengurangkan banjir di daerah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memberi fokus menyelesaikan isu banjir di kawasan atau negeri yang menghadapi itu secara mendesak dan kritikal.

“Kawasan seperti Segamat di Johor, Temerloh di Pahang serta Kelantan kita akan fokus untuk selesaikan isu banjir kerana wujud keperluan mendesak.

“Selepas itu, kerajaan akan menyelesaikan isu banjir di kawasan dan negeri lain seluruh negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles