KOTA KINABALU: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menziarahi keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin di kediaman keluarga di Damai, Kota Kinabalu bagi menyampaikan ucapan takziah.
Dalam pertemuan itu beliau turut mendoakan semoga seluruh keluarga diberikan ketabahan serta rohnya ditempatkan bersama golongan solihin.
Terdahulu Bung Moktar, 66, disahkan meninggal dunia pada 1.46 pagi 5 Disember 2025 di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu selepas menerima rawatan rapi.
Pemergiannya Ahli Parlimen Kinabatangan itu disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan Moktar.
Bung Moktar merupakan figura politik Sabah yang disegani dan berkhidmat sebagai ahli Parlimen untuk kawasan Kinabatangan selama enam penggal, serta memegang jawatan Pengerusi Barisan Nasional Sabah (BN Sabah).
Beliau dikenali sebagai seorang pemimpin bersifat lantang dan tegas, sering memperjuangkan hak rakyat terutama di kawasan pedalaman Sabah, terutamanya dalam isu infrastruktur asas, pembangunan luar bandar, dan peluang ekonomi.
Pemergian Allahyarham mendapat reaksi pelbagai pihak seperti pemimpin dan warga Sabah menyifatkan kehilangan itu sebagai satu kerugian.










