PM Janji Bayar Balik Kepada Pesawah, Petani, Penternak Terbeban Akibat Kenaikan Diesel

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan membuat bayaran balik kepada kumpulan petani, penternak, pesawah yang terbeban akibat kenaikan kos bahan api diesel.

Beliau yang juga Menteri Kewangan meminta butiran petani atau pesawah yang terkesan dengan kenaikan harga diesel diserahkan kepadanya.

Anwar berkata, langkah itu supaya kerajaan dapat menyalurkan kembali bantuan tunai subsidi diesel di bawah inisiatif Budi Madani.

“Pertamanya, kalau ada mana-mana petani atau pesawah yang terbeban dengan kos diesel bertambah, tolong hantar nama dan kita bayar balik dia punya bayaran.

“Sebab dalam program Budi Madani, kita telah bagi jaminan untuk petani, penternak dan pesawah diberikan (bantuan itu),” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang membangkitkan isu kenaikan harga diesel antara punca yang menekan golongan petani.

Hamzah yang juga ketua pembangkang berkata, kenaikan harga diesel perlu diseiringkan dengan kenaikan harga lantai padi.

“Apabila Yang Amat Berhormat (YAB) mengatakan bahawa kerajaan inilah yang menaikkan harga siling, lantai padi daripada RM1,200 kepada RM1,300. Saya ucapkan tahniah. Itu fakta dan saya terima hakikatnya ia sudah dinaikkan.

“Tetapi saya minta YAB sedar yang Perdana Menteri lakukan itu enam bulan sebelum harga diesel naik. Itu yang kita persoalkan (harga) lantai (padi) naik RM100 tetapi (harga) diesel naik lebih RM100.

“Harga diesel menyebabkan pertambahan RM150. Naiklah itu (harga lantai padi) saya (wakil) bagi pihak petani di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas Fadhli Shaari melahirkan rasa lega dengan pengumuman Perdana Menteri itu.

“Alhamdulillah PM umumkan setelah diasak oleh Ketua Pembangkang dalam Dewan hari ini, jika ada mana-mana petani atau pesawah yang terkesan dengan kenaikan harga diesel yang menyebabkan kos bersawah naik, tolong hantar nama kepada Pejabat Perdana Menteri dan kos kenaikan akan dibayar balik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles