PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada dalam bidang kuasa mahkamah dan semua pihak perlu menghormati proses undang-undang sedia ada.
Menurut Anwar, kerajaan tiada halangan terhadap pandangan mana-mana pihak termasuk UMNO yang memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah terhadap Najib dapat dilaksanakan.
“(Titah) Adendum itu urusan mahkamah sekarang, jadi tidak ada masalah bagi kita. Pandangan masing-masing kita hormati, tetapi kita ikut proses,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Presint 15, hari ini.
Terdahulu, UMNO melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan parti itu memohon limpah perkenan Sultan Ibrahim supaya titah tahanan rumah terhadap Najib dilaksanakan, susulan pengesahan kewujudan titah berkenaan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), kelmarin.
Asyraf Wajdi turut menyatakan rasa syukur dengan pengesahan AGC itu yang menurutnya memperakui wujudnya titah penahanan rumah terhadap bekas Presiden UMNO itu, sekali gus berharap Najib akan dikurniakan keringanan hukuman yang telah tertangguh lebih setahun.
Pada 9 Julai lalu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya bersetuju titah tersebut memang wujud, namun mempersoalkan cara bukti baharu itu dikemukakan dalam prosiding.