KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia meneladani semangat pemakaian kain sarung, satu simbol budaya Melayu yang terkenal sebagai inspirasi untuk memperkukuhkan perpaduan dalam masyarakat majmuk negara ini.
Berucap di acara Malaysia Sarong Music Run 2025 (MSMR 2025) di Menara Berkembar Petronas hari ini, beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan keharmonian negara.
“Saya doakan semua selamat, negara selamat, rakyat selamat, ekonomi baik, dan pendapatan juga naik,” katanya ringkas.
Acara itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif.
MSMR 2025 bertujuan meraikan budaya, warisan, dan gaya hidup aktif, mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan lebih 10,500 peserta daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur.
Ramai peserta tampil mengenakan kain sarung dalam pelbagai gaya, menambahkan keunikan acara ini.
Berbeza dengan larian konvensional, MSMR 2025 menggabungkan elemen budaya sepanjang laluan, memberi peluang kepada peserta untuk menyelami tradisi Malaysia dengan lebih mendalam.
Salah satu aspek utama acara ini ialah pemakaian kain sarung sebagai simbol perpaduan dan warisan, mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia yang bersatu.
Acara ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama Malaysia Marathon selaku penganjur bersama dan SCORE Sports Management sebagai rakan teknikal.