KUALA LUMPUR, 13 Jan — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan harapan agar Pesta Ponggal yang diraikan bermula esok dapat memupuk perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan Keluarga Malaysia.
Beliau turut berharap perayaan yang akan disambut sehingga Isnin depan itu memberi kemakmuran dan membuka peluang baharu kepada seluruh Keluarga Malaysia.
“Saya mengucapkan selamat menyambut Pesta Ponggal kepada semua Keluarga Malaysia yang meraikan,” menurutnya dalam kenyataan di laman Facebook malam tadi.
Pesta Ponggal atau pesta menuai disambut oleh masyarakat India sebagai tanda kesyukuran terhadap hidupan dan alam semula jadi yang memberi rezeki.
Katanya pepatah ‘Thai Pirandhal Vazhi Pirakkum’ yang membawa erti ‘permulaan Thai membuka peluang baharu’ sering diucap berkait dengan perayaan Ponggal.
— BERNAMA