PM Dijangka Umum Beberapa Berita Gembira Sempena Raya

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan beberapa lagi inisiatif baharu untuk rakyat dalam masa terdekat menjelang sambutan Aidilfitri.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam taklimat Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan beberapa langkah intervensi segera bagi membantu meringankan beban rakyat, khususnya ketika kos sara hidup terus menjadi kebimbangan menjelang musim perayaan.

Antara pengumuman utama oleh Anwar pada sebelah pagi tadi termasuk keputusan mempercepatkan pengkreditan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang akan mula disalurkan bermula esok.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan penyaluran Bantuan Khas Kewangan 2026 yang melibatkan penjawat awam, pesara kerajaan, veteran serta petugas komuniti seperti imam, bilal dan guru KAFA.

Dalam masa sama, kerajaan juga akan memperluaskan pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani di seluruh negara bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Turut diumumkan ialah peluasan inisiatif subsidi tiket penerbangan FlySiswa bagi memudahkan pergerakan pelajar, khususnya menjelang musim perayaan.

Menurut Tunku Nashrul, keseluruhannya tujuh pengumuman utama telah dibuat oleh Perdana Menteri setakat ini, namun beberapa lagi pengumuman tambahan dijangka menyusul dalam masa terdekat.

Beliau berkata, langkah-langkah tersebut diharapkan dapat memberi sedikit kelegaan kepada rakyat untuk membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih tenang.

“Kerajaan Madani akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, selari dengan usaha membina negara yang lebih adil, sejahtera dan berperikemanusiaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles