PM Diiktiraf Sebagai Pejuang Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob disambut sebagai wira bahasa Melayu tulen sekembalinya dari Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 malam tadi.

Beliau bersama rombongan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 10.30 malam, disambut oleh ratusan yang hadir termasuk aktivis dan pejuang bahasa Melayu.

Turut sama Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan.

Menurutnya, Perdana Menteri wajar diiktiraf sebagai pejuang bahasa Melayu kerana mengangkat darjat bahasa kebangsaan itu ketika berucap di UNGA.

Ismail Sabri disambut sebagai wira Bahasa Melayu oleh ratusan yang hadir di KLIA malam tadi kerana mencatat sejarah apabila berucap dalam bahasa kebangsaan di UNGA di New York.

Awang Sariyan turut mengucapkan tahniah dan penghargaaan kepada Perdana Menteri kerana mengotakan kata mengangkat bahasa Melayu ke peringkat tertinggi.

“Ertinya beliau mengatakan Bahasa Melayu patut diangkat ke peringkat antarabangsa dan telah membuktikannya.

“Bukan sahaja di peringkat ASEAN bahkan peringkat PBB. Satu pertemuan terbesar, pertemuan paling mulia di peringkat dunia.

“Ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu mengulang sejarahnya,” katanya.

Di perhimpunan yang menghimpunkan lebih 150 pemimpin, Ismail Sabri menyampaikan Kenyataan Negara dalam bahasa Melayu, kali pertama oleh pemimpin Malaysia berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan terbesar itu.

Turut sama menyambut ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Salleh Rahamat dan Gabungan Penulis-Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan dan Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) Mohd Khair Ngadiron.

Antara anggota kabinet yang hadir termasuk Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid, Tan Sri Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Shahidan Kassim (Menteri Wilayah Persekutuan) dan Datuk Halimah Sadique (MenteriPerpaduan Negara).

Sambutan juga diberikan atas kelantangan Ismail Sabri memperjuangkan isu hak asasi manusia sejagat menentang penindasan di Palestin dan Myanmar.

Malah, beliau turut mengkritik ketidakadilan PBB dan menuntut reformasi menghapuskan kuasa veto Majlis Keselamatan dan digantikan dengan satu negara satu undi.

Selain New York, Ismail Sabri turut melakukan lawatan kerja empat hari ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

BBerkaitan

Latest articles