Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas pada Isnin ini, berhubung tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berkenaan situasi semasa jangkitan COVID-19 yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan memandang serius dan sentiasa memantau situasi semasa trend peningkatan jangkitan mencatatkan empat angka bermula penghujung November 2020, sehingga rekod tertinggi kes harian COVID-19 dicatatkan semalam dengan 3,027 kes baharu.
“Kerajaan sedang memperhalusi dan menilai tindakan yang perlu diambil segera bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19 termasuk mempertimbangkan prosedur operasi standard lebih ketat membabitkan sektor sosial bagi mengurangkan pergerakan dan risiko COVID-19,” katanya.
Ismail Sabri berkata, kerajaan juga mendengar keluhan dan cadangan rakyat yang amat bimbang dengan peningkatan kes itu, selain sangat memahami beban tugas yang dihadapi petugas kesihatan berikutan peningkatan kes yang mendadak.
Jelasnya, ia lebih-lebih lagi ketika beberapa negeri ketika ini sedang diuji bencana banjir, dan ramai yang bimbang jika bencana itu akan menjadi satu lagi penyebab kepada penularan COVID-19 ini.